Mar 2, 2011

Memahami Perbandingan Agama

   Tajuk seterusnya dalam PERTAMA dibentangkan oleh Bro. Lim Jooi Soon yang bertajuk "Memahami Pebandingan Agama ; Satu Kepentingan Sebagai Seorang Muslim" . 

Firman ALLAH dalam surah Yunus ayat 94 :

"Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu".

Menurut Ustaz Muhammad Izzat al- Tahtawi, seorang tokoh terkemuka dalam bidang  perbandingan agama dari Syria, ayat di atas menunjukkan bahawa perbandingan agama adalah salah satu cabang pengetahuan Islam . 


   Ahmad Deedat adalah tokoh yang paling hebat dalam perbandingan agama pada masa dulu. Kebanyakan karangan dalam bukunya datang daripada gurunya sendiri . Tetapi , sebenar-benar tokoh yang paling hebat dalam perbandingan agama adalah Rasulullah SAW. Hakikatnya , perbandingan agama adalah sunnah Rasulullah SAW dan seharusnya menjadi sebahagian daripada pengajian kita . 

   Sebagai contoh , pada zaman dahulu baginda SAW pernah diziarahi oleh 60 orang delegasi kristian daerah Najran yang bertujuan untuk menguji Nabi Muhammad . Rombongan itu diterima Nabi di Masjid Madinah dan dibenarkan menginap di Masjid Nabawi serta sebahagiannya di rumah sahabat Nabi . 

   Mereka tinggal selama tiga hari dua malam dan sempat melakukan ibadah cara mereka di Masjid Nabawi atas permintaan Rasulullah (perkara ini juga menunjukkan bahawa orang bukan islam dibenarkan masuk dalam masjid) .

Selama di Madinah terjadi dialog antara Nabi dan pimpinan delegasi tersebut .

Rasulullah SAW : Islamlah kamu

Wakil Kristian : Kami sudah lama Islam sebelum kamu . (ada pendapat mengatakan kata-kata ini kerana Islam telah wujud sebelum Nabi Muhammad dan ada juga mengatakan mereka sombong )

Rasulullah SAW : Kamu penipu . Kamu semua terhalang dengan Islam kerana kamu mengatakan ALLAH ada anak , kamu memuliakan salib dan kamu makan khinzir .

Wakil Kristian : Sekiranya Jesus bukan anak ALLAH , siapa bapa baginda ?

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa seseorang anak itu menyerupai bapanya ?

Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa Tuhan itu hidup dan tidak akan mati tetapi Jesus mati ?

Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa Tuhan itu berdiri dengan diriNYA sendiri ?

 Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah Jesus memiliki semua kelebihan ini ?

Wakil Kristian : Sudah semestinya tidak .

Rasulullah SAW : Kalau kamu semua mengakui semua ini , bagaimana kamu boleh mengatakan sedemikian (Jesus anak ALLAH) ?

   Setelah mendengar kata-kata Rasulullah , wakil Kristian tadi senyap . Tidak lama kemudian , dia bertanya lagi .

Wakil Kristian : Adakah kamu pernah lihat manusia terjadi tanpa ada bapa ? Kalau ada , tunjukkan bukti .

Rasulullah SAW : ALLAH berfirman ;

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia . 
[Al-Imran : 59]

   Keseluruhan cerita ini , Rasulullah berjaya mengislamkan sebahagian besar rombongan Kristian itu . Majoriti masyarakat Najran pada zaman sekarang beragama Islam disebabkan dakwah Rasulullah pada masa dahulu melalui perbandingan agama .

   Selain Rasulullah sebagai contoh tokoh perbandingan agama , terdapat dalil-dalil dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perbandingan agama amat dituntut bagi umat Islam . Antaranya , surah at-Taubah ;

Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). 
[125]

Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir. 
[126]

   Pada pendapat saya , tidak ada apa yang perlu ditakutkan untuk mempelajari agama lain kerana kita sepatutnya cukup yakin bahawa Islam adalah agama yang benar . Kalau kita takut untuk membandingkan agama , itu adalah masalah diri kita . Kita sendiri yang tak yakin pada agama Islam . 

   Sekiranya kita tiada ilmu perbandingan agama , macam mana kita nak berdakwah dengan non-muslim ? Kita kena mengkaji kitab mereka dahulu baru mudah untuk kita berdakwah .

   Memahami agama lain bukan sahaja bonus dalam usaha dakwah tetapi juga insyaAllah boleh menjadi benteng diri . Mengapa ? Mari saya berikan satu anologi , sekiranya kita hidup dalam keluarga yang kaya .Setiap hari naik kereta mercedez . Pergi sekolah naik mercedez , balik rumah naik mercedez . Kita takkan bersyukur memiliki kereta mercedez sebab kita membesar dengan kereta itu . 

   Apabila kereta mercedez rosak dan dihantar ke bengkel , kita terpaksa menggunakan kereta lain yang sangat dhaif , dan apabila kita menaiki kereta itu semula , barulah kita ada perasaan syukur memiliki mercedez .

   Kereta kita hanya akan benar-benar jadi jaguh di hati apabila kita sedar ianya tiada tandingan dan itu perlukan kita mengetahui mengenai kereta lain . Saya tidak mengatakan mempelajari perbandingan agama satu-satunya cara meningkatkan rasa syukur mempunyai Islam tetapi ia merupakan salah satu cara yang amat berkesan kearah tersebut 
   

   Selain itu , ada juga dalil lain dalam ayat al-Quran . 


Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". 
[Ali Imran 3:64]
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.” 
[Al-Ankabut 29:46]

Wallahua'lam.

3 comments:

Katibah said...

likee...

Anonymous said...

Tokoh Utama Masa Kini Dr Zakir Naik

Mutiara Islam said...

Jzkk