Mar 9, 2011

SenyumLAH !



Abu Dzar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda 

 Janganlah sekali-kali engkau meremehkan sesuatu pun daripada kebajikan , meskipun sekadar berjumpa dengan saudara mu dengan wajah yang ceria ." 
[HR Muslim]

Kata Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda .


"Setiap kebajikan adalah sedekah .  Dan di antara kebajikan itu adalah berjumpa dengan saudara mu dengan wajah yang ceria .
[HR At Tirmidzi]


Senyum tanda mesra,
Senyum tanda sayang,
Senyumlah sedekah yang paling mudah,
Senyum di waktu susah,
Tanda ketabahan,
Senyuman itu tanda keimanan.

Hati yang gundah terasa tenang,
Bila melihat senyum hatikan tenang,

Tapi senyumlah seikhlas hati,
Senyuman dari hati jatuh ke hati.

Senyumlah seperti Rasulullah,
Senyumnya bersinar dengan cahaya,

Senyumlah kita hanya kerana Allah,
Itulah senyuman bersedekah .

Senyuman , sedekah yang paling mudah.

Mar 7, 2011

Teknik-teknik Kreatif untuk Bangun Tahajjud

بسم الله الرحمن الرحيم


   Ramai orang berniat untuk bangun tahajjud sebelum tidur . Tapi apa yang dapat kebanyakan daripada kita adalah pahala niat itu sahaja , bukan tahajjud . Hal ini kerana sukarnya kita untuk bangun tidur . Saya sendiri kadang-kala menghadapi masalah yang sama . Di sini saya ingin kongsikan beberapa langkah kreatif yang boleh kita sama-sama amalkan . 
Langkah 1: Banyakkan jam lonceng .
Perbanyakkan jam loceng yang boleh mengganggu tidur kita . Letakkan ia di beberapa tempat . Mungkin dengan hanya satu jam kita akan tutup dan terus menyambung tidur . Tetapi dengan jam yang banyak kita terpaksa menutupnya satu persatu sehingga terpaksa bangkit dari tempat tidur. Jangan lupa untuk letakkan jam loceng tersebut pada tempat yang berlainan dan agak jauh dengan katil kita . 
Langkah ini boleh dilakukah sekiranya kita tidur berseorangan , tetapi bukan bersama dengan kawan-kawan . Takut menganggu yang lain . Kita boleh guna cara yang seterusnya .;)


Langkah 2: Tidur tanpa selimut dan bantal .
Jika kita seorang yang sering tidur bertemankan bantal busuk dan selimut kesayangan , kali ini cuba tidur tanpa semua itu . Letakkan bantal dan selimut kita di tempat yang jauh . Biar tidur kita kurang selesa.
Langkah 3: Tidur di atas lantai .
Jika masih tidak dapat bangun walaupun sudah tidak berbantal dan selimut , kali ini kita tak perlu lagi tidur di atas katil . Tidur saja atas lantai . Kadang-kadang kita sukar nak bangkit dari tidur adalah kerana badan kita terasa lemah bila berada di atas tilam yang lembut .
Langkah 4: Sediakan semangkuk air .
Adakalanya kita sudah terjaga dari tidur tetapi tetap berdegil tidak mahu bangun . Dalam hati berkata , “sambung sikit lagi…sikit lagi..sikit lagi..” dan akhirnya kita kembali tertidur sehingga habis waktu subuh . Cara yang mudah untuk mengelakkan sifat buruk ini ialah dengan menyediakan semangkuk air di sisi tempat kita tidur . Apabila tersedar , letakkan tangan kita dalam air itu . Badan kita akan terus rasa segar seperti terkena kejutan elektrik . Kalau nak lagi kaw, selamkan terus muka kita dalam air tu . InsyaAllah lepas tu kita akan terus bangun untuk solat!
Langkah terakhir: Tidur awal dan disiplin terhadap masa sendiri .
Sebenarnya untuk bangkit tahajjud bukanlah perkara yang sukar jika kita berdisiplin dengan waktu tidur kita . Tidur dengan membaca doa dan minta perlindungan dari Allah supaya kita diberi kekuatan untuk bangun tahajjud. Amalkan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah sebelum tidur . InsyaALLAH kita akan mudah bangkit dari tempat tidur .

Mar 2, 2011

Memahami Perbandingan Agama:Formula Dakwah

   Post kali ini sambungan bagi Memahami Perbandingan Agama yang lepas .


   Kita sudah mengetahui bahawa memahami perbandingan agama adalah sebahagian sunnah Rasulullah dan seharusnya menjadi sebahagian daripada pengajian kita . Sekiranya kita tiada ilmu perbandingan agama, mungkin sukar untuk kita berdakwah dengan non-muslim.

   Bro. Lim Jooi Soon ada memberi serba sedikit fahaman tentang masyarakat Cina dan Kristian. Ilmu yang sedikit ini kita boleh gunakan dengan sebaiknya untuk berdakwah .

FAHAMAN KRISTIAN

   Kebanyakan orang Kristian percaya bahawa Tuhan ada satu . Apabila berdialog dengan mereka , fokus pada PENCIPTA dahulu . 

   Mereka sangat menyayangi Jesus (Nabi Isa) . Sebab itu kita kena mencari PERSAMAAN agama Islam dengan agama mereka , bukan perbezaan !


   Contohnya , dalam kitab bibble ada mengatakan bahawa Jesus sujud (cara solat) , Jesus berpuasa , Jesus berkhatan dan Jesus juga memberi salam . Kita boleh cakap " kalau sayangkan Jesus , kenapa tak ikut apa yang Jesus buat ? Semua perbuatan tu ada pada Islam. Kalau kamu ingin masuk Islam sekalipun , jangan ikut saya , tapi ikut Jesus."

   Bila kita tunjukkan persamaan Islam dengan agama mereka , mungkin mereka akan terbuka hati untuk berfikir tentang Islam , dan pada waktu itu kita cuba menerangkan sifat-sifat ALLAH secara perlahan-lahan dan jelas .

FAHAMAN CINA



   90% masyarakat Cina adalah 'Free Thinker' manakala 10% lagi adalah masyarakat yang tidak percaya Tuhan itu wujud .

   Perkara pertama sekali untuk kita dakwah mereka adalah dengan meyakinkan mereka bahawa wujudnya PENCIPTA pada alam dan seluruh makhluk . Kita boleh gunakan LOGIK AKAL bahawa setiap benda pasti ada pencipta .

   Sesuatu itu tidak terjadi dengan sendiri melainkan adanya Pencipta. 
Sebuah buku tidak akan dapat ditulis melainkan ada penulisnya. 
Sebuah lagu tidak akan dapat digubah melainkan ada penggubahnya . 
Sebuah kereta tidak akan terjadi melainkan ada perekanya . 
Tidak mungkin pohon tumbuh sendiri dan menghasilkan bunga dan buah tanpa adanya proses kejadian . 
Tidak mungkin pada gas dan minyak terdapat sumber tenaga kalau tenaga tidak diciptakan .

   Mereka tidak percaya wujudnya Tuhan kerana mereka tidak nampak Tuhan itu di mana . Sekali lagi kita gunakan logik akal bahawa tidak semestinya sesuatu benda tu kita boleh lihat . Contoh , kita dapat rasa angin , tapi kita tak dapat melihatnya ,bila kita sakit kita hanya dapat rasa , tapi tak dapat lihat kesakitan tu, dan banyak lagi .

   Selain itu , kita juga boleh kaitkan sains dengan al-Quran . Cara ini lebih berkesan kerana lebih 1000 ayat al-Quran menunjukkan fakta sains dan 800 daripadanya telah terbukti benar oleh saintis . Salah satu contoh yang boleh saya bagi adalah fenomena "Bing Bang" .

   Konsep penciptaan alam yang diterangkan oleh para saintis diterima oleh umum , dan ia dinamakan sebagai fenomena "Big Bang". la pula disokong oleh hasil-hasil pemerhatian yang logik dan eksperimen-eksperimen tertentu yang dilakukan oleh para saintis sejak berkurun yang lalu . 

Menurut fenomena tersebut (Big Bang) , seluruh alam ini dulunya berasal dari satu kumpulan jisim (Primary Nebula) . Kemudian berlaku pecahan padanya (Secondary Separation) yang menyebabkan kejadian seluruh galaksi ini . Kejadian ini menyebabkan terbentuknya bintang-bintang , planet-planet , matahari , bulan , dan lain-lain . 

   Asal kejadian alam ini sangatlah unik dan kebarangkalian alam ini terjadi dengan sendirinya adalah ternafi (dengan sendirinya) . 

  Terdapat dalam Al-Quran , ayat yang menceritakan asal kejadian alam ini ;


"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya"
( Surah Al-Anbiyaa ' : 30)

   Persamaan antara maksud ayat Al-Quran di atas dan fenomena "Big Bang" adalah sangat jelas dan tidak dapat dinafikan .

   Fikirkan , bagaimanakah satu kitab yang muncul (diturunkan) di padang pasir di Arab pada 1,400 tahun dahulu , mengandungi fakta saintifik yang begitu hebat !


FAHAMAN HINDU

   Fahaman Hindu pada saya terlalu sikit . Samada kurang penjelasan dari Bro. Lim Jooi Soon atau saya 'tertidur' ... =)

    Kalau kaji kitab Hindu , mereka juga mengatakan bahawa ALLAH  ada satu . Tapi tak faham kenapa zaman sekarang ni banyak sangat Tuhan mereka . Cara nak berdakwah dengn mereka , kita boleh je gunakan cara yang sama , iaitu menggunakan persamaan dan "logik&sains"


..................................................................................

   Apabila kita sudah mengkaji kitab agama lain , mudah untuk kita berdakwah dan mencari persamaan antara mereka . Oleh itu , ilmu perbandingan agama perlu dipelajari dan difahami.

   Dalam usaha kita nak berdakwah juga , mestilah menggunakan cara yang betul , bukan dengan sewenang-wenangnya .

 FORMULA DAKWAH 

     1.    Guna pendekatan yang sesuai mengikut keadaan .

   Apabila dakwah dengan non-muslim , kita mesti menjelaskan pada non-muslim apa yang membuatkan mereka tertarik pada islam . Saya beri satu anologi , bila kita ingin pancing ikan , kita mesti letak benda yang ikan tu suka , bukan apa yang kita suka . Kalau kita letak nasi pada pancing tu , sudah semestinya ikan tu takkan berminat .

   Selain itu , sekiranya kita ingin menulis buku untuk berdakwah , elakkan daripada menggunakan bahasa yang berbunga-bunga dan bahasa arab . Perkara ini menyebabkan non-muslim susah untuk faham . Sebagai contoh, Bro. Lim Jooi Soon pernah membeli buku Islam untuk menambah pengetahuan agama Islam , tapi beliau tak faham langsung baca buku tu dan menyebabkan beliau bosan untuk baca .

   Macam mana orang yang tidak tahu apa-apa pasal Islam nak faham baca buku yang penuh dengan istilah-istilah bahasa arab . Boleh je kalau nak guna juga bahasa arab , tapi pastikan letak maksudnya sekali .

    Pendekatan mengikut keadaan di sini juga bermaksud tempat atau masa . Budaya dan pengamalan ajaran Islam tidak sama pada semua tempat . 


   2.    Bila kita sampaikan mesej pada agama lain , mulakan dengan TAUHID dan AQIDAH dahulu.

   Kita mesti fokus pada PENCIPTA dahulu . Tanamkan pada diri mereka bahawa Tuhan itu satu iaitu ALLAH . 

   Kita lihat orang sekarang suka berdakwah dengan menjelaskan hukum fiqh . Perkara ni akan memberatkan mereka , malah akan menyebabkan mereka tidak berminat pada Islam . Sedangkan Fiqh dalam Islam pun mempunyai banyak ikhtilaf ulama' .

   Cuba bayangkan , kalau non-muslim bertanya kita tentang Islam , kita pon cakap "Islam tu wajib sembahyang 5 kali sehari , puasa sebulan dalam bulan Ramadhan , kena keluarkan duit untuk bayar zakat . Kalau tak buat berdosa besar" . Kamu rasa adakah mereka akan tertarik dengan Islam ?

   3.    Bagi hukum mengikut keimanan orang itu , bukan keimanan kita .

   Kita tengok kisah pertama . Situasi pertama seorang sahabat yang sudah lama berkahwin berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya tentang hukum mencium isteri ketika puasa . Rasulullah membenarkan . 

   Kemudian situasi kedua sahabat yang baru sahaja berkahwin berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya tantang hukum yang sama .  Kali ini Rasulullah tidak membenarkan .

   Cuba lihat situasi pertama , orang yang berjumpa dengan Rasulullah itu adalah orang yang sudah lama berkahwin , dia mampu untuk mengawal nafsu bila mencium isteri berbanding dengan orang yang baru sahaja berkahwin . Orang yang baru berkahwin , tidak mustahil apabila mencium isteri ,dia tidak dapat menahan nafsu dan akan membatalkan puasanya .

   Kisah lain , Ibn Abbas memberi hukum membunuh kepada dua orang dalam situasi yang berbeza . Situasi pertama orang itu dalam keadaan marah , maka Ibn Abbas mengatakan haram membunuh . Situasi kedua orang itu dalam keadaan tenang , Ibn Abbas tidak kata haram . 

   Jelas di sini hukum boleh berubah mengikut situasi dan keadaan . Janganlah memberatkan non-muslim apabila dia baru masuk Islam kerana keimanan mereka mungkin di tahap yang lemah lagi .

Wallahua'lam.

Memahami Perbandingan Agama

   Tajuk seterusnya dalam PERTAMA dibentangkan oleh Bro. Lim Jooi Soon yang bertajuk "Memahami Pebandingan Agama ; Satu Kepentingan Sebagai Seorang Muslim" . 

Firman ALLAH dalam surah Yunus ayat 94 :

"Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu".

Menurut Ustaz Muhammad Izzat al- Tahtawi, seorang tokoh terkemuka dalam bidang  perbandingan agama dari Syria, ayat di atas menunjukkan bahawa perbandingan agama adalah salah satu cabang pengetahuan Islam . 


   Ahmad Deedat adalah tokoh yang paling hebat dalam perbandingan agama pada masa dulu. Kebanyakan karangan dalam bukunya datang daripada gurunya sendiri . Tetapi , sebenar-benar tokoh yang paling hebat dalam perbandingan agama adalah Rasulullah SAW. Hakikatnya , perbandingan agama adalah sunnah Rasulullah SAW dan seharusnya menjadi sebahagian daripada pengajian kita . 

   Sebagai contoh , pada zaman dahulu baginda SAW pernah diziarahi oleh 60 orang delegasi kristian daerah Najran yang bertujuan untuk menguji Nabi Muhammad . Rombongan itu diterima Nabi di Masjid Madinah dan dibenarkan menginap di Masjid Nabawi serta sebahagiannya di rumah sahabat Nabi . 

   Mereka tinggal selama tiga hari dua malam dan sempat melakukan ibadah cara mereka di Masjid Nabawi atas permintaan Rasulullah (perkara ini juga menunjukkan bahawa orang bukan islam dibenarkan masuk dalam masjid) .

Selama di Madinah terjadi dialog antara Nabi dan pimpinan delegasi tersebut .

Rasulullah SAW : Islamlah kamu

Wakil Kristian : Kami sudah lama Islam sebelum kamu . (ada pendapat mengatakan kata-kata ini kerana Islam telah wujud sebelum Nabi Muhammad dan ada juga mengatakan mereka sombong )

Rasulullah SAW : Kamu penipu . Kamu semua terhalang dengan Islam kerana kamu mengatakan ALLAH ada anak , kamu memuliakan salib dan kamu makan khinzir .

Wakil Kristian : Sekiranya Jesus bukan anak ALLAH , siapa bapa baginda ?

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa seseorang anak itu menyerupai bapanya ?

Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa Tuhan itu hidup dan tidak akan mati tetapi Jesus mati ?

Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah kamu mengakui bahawa Tuhan itu berdiri dengan diriNYA sendiri ?

 Wakil Kristian : Ya .

Rasulullah SAW : Adakah Jesus memiliki semua kelebihan ini ?

Wakil Kristian : Sudah semestinya tidak .

Rasulullah SAW : Kalau kamu semua mengakui semua ini , bagaimana kamu boleh mengatakan sedemikian (Jesus anak ALLAH) ?

   Setelah mendengar kata-kata Rasulullah , wakil Kristian tadi senyap . Tidak lama kemudian , dia bertanya lagi .

Wakil Kristian : Adakah kamu pernah lihat manusia terjadi tanpa ada bapa ? Kalau ada , tunjukkan bukti .

Rasulullah SAW : ALLAH berfirman ;

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia . 
[Al-Imran : 59]

   Keseluruhan cerita ini , Rasulullah berjaya mengislamkan sebahagian besar rombongan Kristian itu . Majoriti masyarakat Najran pada zaman sekarang beragama Islam disebabkan dakwah Rasulullah pada masa dahulu melalui perbandingan agama .

   Selain Rasulullah sebagai contoh tokoh perbandingan agama , terdapat dalil-dalil dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perbandingan agama amat dituntut bagi umat Islam . Antaranya , surah at-Taubah ;

Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). 
[125]

Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir. 
[126]

   Pada pendapat saya , tidak ada apa yang perlu ditakutkan untuk mempelajari agama lain kerana kita sepatutnya cukup yakin bahawa Islam adalah agama yang benar . Kalau kita takut untuk membandingkan agama , itu adalah masalah diri kita . Kita sendiri yang tak yakin pada agama Islam . 

   Sekiranya kita tiada ilmu perbandingan agama , macam mana kita nak berdakwah dengan non-muslim ? Kita kena mengkaji kitab mereka dahulu baru mudah untuk kita berdakwah .

   Memahami agama lain bukan sahaja bonus dalam usaha dakwah tetapi juga insyaAllah boleh menjadi benteng diri . Mengapa ? Mari saya berikan satu anologi , sekiranya kita hidup dalam keluarga yang kaya .Setiap hari naik kereta mercedez . Pergi sekolah naik mercedez , balik rumah naik mercedez . Kita takkan bersyukur memiliki kereta mercedez sebab kita membesar dengan kereta itu . 

   Apabila kereta mercedez rosak dan dihantar ke bengkel , kita terpaksa menggunakan kereta lain yang sangat dhaif , dan apabila kita menaiki kereta itu semula , barulah kita ada perasaan syukur memiliki mercedez .

   Kereta kita hanya akan benar-benar jadi jaguh di hati apabila kita sedar ianya tiada tandingan dan itu perlukan kita mengetahui mengenai kereta lain . Saya tidak mengatakan mempelajari perbandingan agama satu-satunya cara meningkatkan rasa syukur mempunyai Islam tetapi ia merupakan salah satu cara yang amat berkesan kearah tersebut 
   

   Selain itu , ada juga dalil lain dalam ayat al-Quran . 


Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". 
[Ali Imran 3:64]
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.” 
[Al-Ankabut 29:46]

Wallahua'lam.