Apr 25, 2011

Cinta

   Remaja selalunya dikaitkan dengan cinta. Agak pelik jika dilihat seseorang yang memegang gelaran remaja tidak mempunyai perasaan ingin bercinta dan dicintai juga tidak ada keinginan untuk berkenal-kenalan (kononnya) dan berhubungan sama ada secara SMS ataupun melalui alam siber dengan sahabat lain yang berlainan jantina.


Adakah Islam membunuh terus naluri cinta ?
Adakah Islam langsung tidak memberi peluang kepada seseorang untuk merasakan perasaan cinta?
Adakah Islam ini terlalu kejam apabila mengekang seseorang itu
daripada terjebak dengan percintaan ?

Bukan begitu saudaraku.

   Islam adalah agama yang syumul! Segalanya sudah ditetapkan oleh syari'at supaya manusia tidak terus tenggelam pada bisikan dunia. Cinta yang diimpikan semasa remaja cuma fatamorgana yang tidak kekal. Cuma mainan remaja yang dibisik oleh hawa nafsu dan syaitan yang cuba menarik setiap bani Adam untuk bersamanya di neraka.

   Cinta remaja sering membuatkan kita menipu diri sendiri. Pada fikiran sebilangan remaja, 'cuma setakat menelefon dan menghantar mesej dan surat bukannya sampai berjumpa berdua-duaan di taman bunga'.


Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً


Maksud : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah al-Israa': 33)

Sedangkan mendekati zina pun sudah ditegah. Apatahkan lagi berzina.
Mengapa Allah kata,
Jangan kamu 'mendekati zina'?

   Ini kerana Islam telah menegaskan bahawa mendekati zina itu saja sudah haram hukumnya, apatah lagi jika berzina.

   Asyik daripada menelefon kekasih pujaan itulah akan menaikkan keinginan nafsu untuk berjumpa dan kemudian ke arah kegiatan-kegiatan yang seterusnya.



Ketahuilah sahabat-sahabatku sekalian,

   Sesungguhnya terdapat enam perkara yang mendekatkan diri kita kepada zina. Moga kita sama-sama dapat memelihara diri kita dari menghampiri dan kemudiannya melakukan perkara-perkara tersebut yang antaranya :

1. (Melihat)
-Zina itu bermula apabila seseorang itu tertarik kepada pasangan yang berlainan jantina dengannya.

2. (Senyum)

-Seterusnya senyuman diukir untuk menarik perhatian masing-masing.

3.(Memberi Salam)
- Salam diberi sebagai tanda memulakan hubungan.

4.(Bercakap Kosong)
-Setelah mengenal hati budi masing-masing, seringkali mnelefon dan menghantar mesej yang semuanya dipenuhi dengan cakap kosong dan angan-angan cinta.

5. (Berjanji)
- Mula mengikat janji untuk berjumpa untuk mengenali dengan lebih dekat dan melepaskan rindu di hati.

6. (Berjumpa)
-Dan satu perjumpaan diadakan berdua-duaan (tiga sebenarnya - yang ketiga makhluk bernama syaitan) maka akan berlakulah zina di mana nafsu tidak mampu menahan amarah, disinilah permulaan zuriat dibuang di longkang-longkang, di celah-celah belukar serta semak samun, di tong-tong sampah, di jalanan dan juga di kaki lima. Di sinilah permulaan tergadai segala kehormatan diri. Disinilah permulaan untuk melepaskan nafsu yang tidak pernah kenal kepuasan dan maruah diri.



   Zina bukan sahaja menggadai kehormatan diri malah kehormatan agama, masyarakat dan ibubapa malah merosakkan generasi ummah! Mahukah kamu untuk memalit najis yang hina di muka ibubapa setelah mereka membesarkan kamu ibarat menjaga sebutir permata yang berharga? Mereka juga yang telah bersusah payah melahirkan serta membesarkan kamu dengan menggunakan segala kudrat yang ada. Mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupanmu.

Hadis 6 daripada hadis 40 imam nawawi bermaksud
“Dari Abu Abdullah An-Nu’man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘ Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam perkara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan. Hampir sangat ia menternak ke dalamnya (tempat larangan itu)........."

“ Dan barangsiapa yang terjerumus dalam syubhah, ia terjerumus dalam perkara haram”, membawa dua pengertian:
Pertama , seseorang melakukan perkara haram tetapi ia menyangkanya halal. 
Kedua, seseorang melakukan perkara yang dekat dengan perkara haram. Umpamanya lelaki dan wanita yang bukan mahram berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan dikira melakukan perkara haram kerana ia boleh membawa kepada zina.
Contoh yang diberikan dalam hadis ialah penggembala yang menggembala ternakan berhampiran dengan tanah orang/kawasan larangan. Walaupun ternakan itu belum masuk secara terangan ke dalam kawasan itu, ia dikira syubhah dan sebagaimana dalam hadis, sesiapa yang melakukan syubhah , maka ia melakukan yang haram.
Ulama fiqh merumuskan satu kaedah berdasarkan hadis ini iaitu
"Apa-apa yang membawa kepada haram, maka ianya juga adalah haram."

Wahai rakan-rakanku sekalian,

   Waktu ini bukanlah masanya lagi untuk kita bercinta. Perjuangan dan perjalanan masih jauh dan kita masih mentah untuk melalui alam percintaan. Percintaan yang sebenar bermula apabila kita mula mahu melangkah ke gerbang perkahwinan.


   Carilah cinta yang disandarkan kepada-Nya yang menjanjikan kemanisan di dunia dan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya cinta kepada makhluk ciptaan-Nya merupakan satu fitrah yang tidak boleh dielak oleh seseorang yang bergelar manusia. Sedangkan Adam pun berasa sunyi tanpa kehadiran Hawa, bukan? Apakah yang tidak ada di syurga?

   Fikirkanlah tentang ganjaran serta nikmat-nikmat yang bakal menanti kita di syurga yang tiada di dunia sementara kita melawan dari menuruti hawa nafsu kita yang sentiasa mahukan keseronokan yang tidak kekal juga kenikmatan yang tidak berpanjangan.





   Marilah sama-sama kita menyeru diri kita serta kawan-kawan kita sekalian untuk kembali kepada ajaran agama kita sebagai pedoman mereka dalam kehidupan agar negara kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Tuhan.

Apr 15, 2011

Solehah~

   Atas permintaan makcik hanan, maka di sini tercetuslah kisah 'solehah a.k.a notie'.

Saat-saat pertama kali tiba di bayt solehah...........

first time menunjukkan petanda2 kuat tido

malu2 nak main
Makcik hanan mengajar yg bukan2!
Semakin membesar.......

masih mengharapkan org lain utk membersihkan tahi matanya;)

mengalahkan org yg stdy

Sudah menjadi anak dara...................

dah pandai membersihkan diri;)
tapi tetap nakal...^^


dan kuat tido..
   Apa yang menarik tentang solehah ni, kalau orang masak kat dapur, dia akan sentiasa teman sampailah siap masakan tuh. Kalau orang kemas rumah, dia akan tengok bersungguh2 dari dekat (nk contohi bila dah jadi ank dara). Suka tidur kat selimut dan hirom dan kebiasaannya paling lambat bangun tidur! Suka dicium(tak cukup kasih sayang mak kot). 




Don't be sad makcik!


   Syahdu betul bila dengar hanan menangis time mengaji. Rasa bersalah sanga.Tapi baguslah, bila ada masalah kembali pada ALLAH.. (^_~)

   Kalaulah dulu aku tak merengek2 kat kau nak bela kucing, kalaulah dulu aku tak ajak kau tengok kucing kat kedai 'animal planet' tu. kalaulah dulu aku tak mempengaruhi kau beli si solehah tu sampai kau sayang dia, kau takkan sedih macam ni kan. Hakikatnya tidak boleh menggunakan perkataan 'kalau' dalam Islam. Tapi aku tetap salah!=(
Sory mira dan hanan.

   Teringat kata-kata seorang sahabat "insyaALLAH lepas ni kau akan dapat suami yg suka kucing,masa tu ko boleh berlari2 sepuas hati ko dengan kucing tu,sampai kucing tu beranak2 pon boleh". Walaupun agak kelakar, tapi serius kata-kata ni dapat menenangkan hati. Time kasih..
(tak mengharapkan pon dapat suami mcm tu)

 boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[2:216]


Lastly, untuk hanan......
Saat-saat terakhir pemergiannya............

memikirkan masa depannya selepas ini=(
   
   Hehe.. Saje nak buat hanan sedih =p

Apr 5, 2011

KOD E


Bahan-bahan yang ditandakan dengan kod E yang dikatakan bersumber dari babi.

( Check dekat belakang makanan yang bertin, berplastik atau berbungkus)
  • E120
  • 141
  • 160(A) , 161
  • 252
  • 300, 301
  • 422
  • 430, 431, 435, 436
  • 441
  • 470, 471, 472 (A, E), 473, 474, 475, 476, 477
  • 481, 482, 483
  • 491, 494
  • 542
  • 570, 572
  • 631, 635
  • 920

Kebanyakannya terdapat di dalam :::

  • Ais-krim
  • Coklat
  • Makanan ringan

Bahan yang dikategorikan tidak kritikal yang bersumber dari bahan kimia dan tumbuhan :::

  • E100, E110, E120
  • E140, E141
  • E210, E213, E214, E216
  • E234
  • E280

Bahan yang dikategorikan kritikal yang berasas dari sumber tidak halal dan perlu dikaji asal sumbernya :::

  • E153 :: carbon black
  • E422 :: lecithin
  • E432 :: polysorbate 80
  • E434 :: polysorbate 60
  • E435 :: polysorbate 60
  • E436 :: polysorbate 65
  • E470, E471, E472, E473, E474, E475, E476.






Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. 
(Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

   Wara' dan memelihara diri daripada haram atau yang syubhah serta mencari hanya yang halal sahaja dan memakan daripada yang halal dengan menjauhi yang haram dalam perusahaan dan makan dan seumpamanya, semua itu adalah menjadi perkara penting sekali di dalam agama dan dikira antara perkara-perkara yang boleh mendekatkan seseorang hamba kepada Allah.

p/s : Meninggalkan perkara haram dan syubhah termasuk di kalangan mereka yang wara'.

Apr 4, 2011

Mudahnya Perkahwinan di Atas Sunnah





Bila cerita tentang pacaran pada orang bujangan, ramai akan kata seronoknya! Cuma bila masuk bab suruh kahwin, banyaklah alasannya nanti. Antara yang biasa kita dengar adalah alasan muda lagi, duit tak cukup lagi, tak cukup belanja hantaran, kereta belum habis bayar, rumah pun tidak ada lagi, kerja belum stabil, ibu dan bapa tidak bagi lampu hijau dan seumpamanya.

Tapi dalam masa yang sama, sudah hebat berpacaran ke sana ke mari. Keluar berduaan lelaki dan wanita sambil berpegangan tangan bagai dunia mereka yang punya.

Itulah realitinya, ramai di antara kita memandang perkahwinan dari sudut kos dan material. Tetapi lupa dari sudut agama.

Sebenarnya jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah mudah demi menjaga kesucian diri, maruah, dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketekunan, kesabaran, dan kesediaan untuk belajar.

Kenapa perlu tunggu lama-lama membiarkan maruah dan agama digadai, mengumpul dosa dalam rindu, duit pula habis untuk pacaran? Bukankah itu jauh lebih sukar berbanding membelanjakan sedikit harta untuk sebuah perkahwinan yang benar? Maka, segerakanlah perkahwinan
.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud, 6/13, no. 1808. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

إن من يمن المرأة تيسير خطبتها وتيسير صداقها وتيسير رحمها

“Di antara kebaikan wanita adalah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” 
(Hadis Riwayat Ahmad dan ath-Thabrani. Majma’ az-Zawa’id, 4/516, no. 7482)

Sekiranya maskahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah-nambah dengan beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syari’atkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi tersebut bahawa pernikahan yang baik adalah yang paling mudah. Ini merangkumilah mudah dari aspek perbelanjaan dan pengurusan.

Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat al-Qur’an. Kenapa kita pula bertindak meninggalkan sunnah Rasulullah dan memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri?

Perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah pasar untuk memperdagangkan anak gadis melalui kutipan belanja hantaran daripada pihak suami. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang syar’i. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumah-tangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?

Selari dengan pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, turut dianjurkan supaya kita menghulur bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah
.

Ketika Rasulullah mengetahui sahabatnya ‘Abdurrahman B. ‘Auf baru sahaja bernikah, Rasulullah pun berkata kepadanya (sambil terlebih dahulu mendoakannya):

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

“Barakallahu laka (semoga Allah memberi berkah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, 16/131, no. 4758)

Berdasarkan hadis ini, mengadakan walimah (menjamu orang makan) dengan sebab pernikahan adalah disyari’atkan. Walaupun begitu, walimah tidaklah mesti dilakukan dengan seekor kambing. Tetapi perlulah bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahannya bersama Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur keju dan tepung hasil sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana diriwayatkan Imam al-Bukhari. Terdapat juga hadis yang menunjukkan Rasulullah hanya menjemput beberapa orang lelaki meraikan walimah perkahwinannya di waktu yang lain.

Ia tidaklah seperti sebahagian daripada kita hari ini yang berlebih-lebihan dalam walimah sehingga sanggup membuat pinjaman kewangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat besar dan gah.

Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan.

Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah sewajarnya diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.

Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini yang dapat penulis sebutkan adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam praktik persandingan, menghambur-hambur harta (membazir) untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin, dan seumpamanya.

Hukum mendedahkan aurat adalah suatu yang maklum di kalangan umat Islam. Lebih lagi apabila berlaku pembaziran wang untuk belanja solekan, set baju yang menggambarkan bentuk tubuh wanita, dan mencukur kening demi kelihatan cantik. Ini semua termasuk bentuk-bentuk peragaan tubuh ala jahiliyah yang telah diharamkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya (maksudnya), “Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

Manakala acara khas sesi sarung cincin dan potong kek perkahwinan pula ia termasuk meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah
. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Malah penulis difahamkan harga sebuah set kek perkahwinan sahaja sudah berharga ratusan dan ada yang mencecah ribu ringgit.

Manakala amalan meminta individu tertentu untuk menolak dan menahan hujan dengan jampi tertentu agar majlis dapat berjalan lancar, maka ini termasuk pula ke dalam perbuatan syirik. 
Ini sama juga dengan adat menepung tawar yang tidak diketahui asal-usulnya dari ajaran agama Islam. Sebenarnya untuk tujuan ini, cukuplah dengan berdoa kepada Allah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan secara teknikal.

Jika di dalam majlis-majlis walimah tertentu mengandungi praktik-praktik maksiat seperti ini, terdapat petunjuk Rasulullah supaya tidak menghadirinya atau sekiranya mampu maka berilah nasihat dan teguran.

Dari itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran. Hindarilah juga budaya pacaran tanpa nikah! Semoga semaian cinta dan majlis kita mendapat berkah dan keredhaan Allah. Itulah yang perlu kita cari dan kejar. Wallahu a’lam
.

Apr 1, 2011

Surah Penenang Jiwa


[1]
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?


[2]
Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) 


[3]
Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?


[4]
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?


[5]
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa
 sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.


[6]
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa
 sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.


[7]
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),


[8]
Dan
 kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).



p/s : Bila kita sedih atau ada masalah, ayat ni sangat membantu. Ayat "sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" ditekankan dua   kali dalam surah ini. Maka, benarlah kata-katanya!.Letakkan keyakinan yang tinggi pada-NYA bahawa setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan di hujungnya, maka akan damailah hati kita. Hanya DIA sahaja yang mampu menenangkan hati ni.